Objektif Pusat Sumber Sekolah ialah:
1 Menguruskan maklumat.
PSS sebagai tempat mengumpul, menyimpan serta mengedarkan berbagai- bagai maklumat. Maklumat-maklumat ini mencakupi pelbagai bidang keilmuan seperti kemanusiaan, sains, teknologi, agama dan sebagainya. Dengan maklumat-maklumat inilah guru-guru dan para pelajar dapat memperkayakan pengalaman-pengalaman pengajaran pembelajaran mereka.
2 Kecemerlangan pendidikan.
Adalah diharapkan PSS akan dapat mempertingkatkan mutu pengajaran pembelajaran serta dapat meningkatkan prestasi pencapaian akademik dikalangan pelajar-pelajarnya.
3 Penggunaan kemudahan.
Menggalakkan pelajar-pelajar, guru-guru serta kakitangan sekolah menggunakan pelbagai kemudahan pembelajaran supaya mereka mempunyai tahap keilmuan yang tinggi hasilnya dari kajian dan pembacaan yang tidak ditumpukan kepada buku teks semata-mata.
.4 Memupuk Tabiat Belajar
Adalah diharapkan dengan adanya Pusat Sumber Sekolah akan dapat membantu memupuk tabiat belajar sendiri, membaca dan menjalankan penyelidikan melalui pencarian dan penggunaan maklumat secara sistematik.
5 Penghasilan Bahan.
Pusat Sumber Sekolah juga merupakan tempat untuk menghasil, menilai dan menggunakan pelbagai alatan atau bahan untuk proses pengajaran dan pembelajaran.
6 Perkhidmatan Pembelajaran.
Pusat Sumber Sekolah juga harus berupaya memberi pandangan dan cadangan untuk melaksanakan kurikulum sekolah dengan berkesan. Oleh yang demikian, kakitangannya bukan sahaja mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran tentang media pendidikan tetapi juga bagaimana media dapat disepadukan dalam pengajaran dan pembelajaran supaya berkesan. Khidmat runding dan nasihat ini hendaklah ditawarkan bila-bila masa yang diperlukan. Ia boleh diberi dalam bentuk sesi tunjuk ajar, bengkel, kursus, pameran, temubual, dialog atau apa sahaja cara yang boleh menghasilkan konteks antara kakitangan media dengan guru-guru dan para pelajar.
7 Kemahiran Maklumat.
Pusat Sumber Sekolah juga seharusnya berperanan melatih pelajar-pelajar supaya dapat menggunakan kemahiran makluamt dalam proses pembelajaran mereka.
Matlamat
1 Mempertingkatkan mutu pendidikan di sekolah.
2 Membentuk profesion perguruan yang berilmu, dinamis, kreatif, inovatif dan berdisiplin untuk membantu membina sahsiah guru-guru supaya mereka dapat memainkan peranan yang berkesan dalam pembangunan agama, bangsa dan negara.
3 Membantu golongan pelajar yang berilmu, dinamis, kreatif dan berdisiplin untuk membantu pembinaan sahsiah pelajar itu sendiri supaya dapat memainkan peranan yang positif apabila mereka tamat persekolahan.
4 Merapatkan jurang perbezaan antara kemudahan-kemudahan pendidikan sekolah-sekolah luar bandar dengan sekolah-sekolah di bandar.

